Tropi Kebebasan Mutlak
- Julmazli Dempollok Menulis Dalam Kategori: Motivasi
SEMASA saya menulis artikel ini, Tanah Melayu sudah merdeka 52 tahun 9 bulan 6 hari yang lalu. Negeri dimana saya dilahirkan juga sudah 46 tahun terlepas dari kurungan penjajah. Bukan tuan-tuan. Bukannya kita mahu menelaah sejarah Malaysia. Itu agak membosankan. Tapi kita mahu belajar perkara yang lebih menarik. Mengenai nombor-nombor bertuah. Nombor ekor. Ehem.. Beberapa daripada anda sedikit bersemangat. Inilah nombornya 31081957 dan 16091963. Eh.. Nampaknya seolah digit nombor ekor kita ini lebih dari yang sepatutnya saja? Inilah nombor ekor yang dibeli oleh pejuang kemerdekaan dengan darah, keringat dan pengorbanan. Kenapa para pejuang bermati-matian juga membelinya walaupun harganya sampai begitu mahal?

Baiklah, baiklah.. memang saya mengaku saya tidak tahu bermain nombor. Tapi pada hemat saya, sebab nombor ini pasti mengena. Pasti naik. Pasti memenangi hadiah pertama yang ditawarkan. Berupa kemajuan, kemewahan dan keamanan. Tapi itu hanyalah bonus sebenarnya, hadiah utama adalah sebuah tropi kebebasan mutlak. Jadi mereka tidak kisah lagi. Mereka bergolok bergadai segalanya, termasuk nyawa dan nafas mereka sendiri. Saya sungguh menghargai mereka. Kami terhutang budi kepada tuan wirawan dan wirawati negara. Kami tidak akan mampu membalas budi baik anda para perwira bangsa yang mewariskan kami hadiah sehebat ini. Kebebasan yang tidak ternilai. Hanya doa dapat kami kirimkan sebagai tanda terima kasih.
Di sebalik ini semua, kalau mereka tahu ada lagi anak cucu mereka yang masih mundur. Kalau mereka tahu masih ada lagi yang dirantai dan digelangi oleh pemikiran sempit. Kalau mereka tahu masih ada lagi yang hidup miskin dan merana. Kalau mereka tahu masih ada yang mahu melihat kita bercakaran sesama. Mereka pasti sedih dan penat. Kenapa tidak? Setelah berhempas pulas menebas belantara untuk menyemai bunga perpaduan dan kemajuan, rupanya masih ada lagi benih tumbuhan berduri dan beracunAlangkah sia-sianya. Alangkah lesu. Alangkah lelahnya. Jadi mari kita sambung usaha mereka.
Siapa kata saya mahu jadi ahli politik? Sudah tentu tidak kawanku. Itu hanya akan membuat saya menguap dan menguap tanpa henti, sebab tidak faham satu apa pun. Kalau begitu, bagaimana kita boleh menyambung perjuangan mereka? Banyak cara boleh kita lakukan. Anda gunakan apa saja yang ada. Kita rakyat Malaysia, kita bijak bestari. Percayalah. Kalau tidak, tempoh 52 tahun itu sebenarnya singkat untuk agak terkehadapan seperti ini. Tidak perlu berpolitik. Kebetulan, kita sudah mulai meneroka kemajuan dalam bidang pertanian. Jadi meracun rumpai (termasuk benih tumbuhan berduri dan beracun itu) mungkin boleh dilakukan. Menggunakan baja yang menyuburkan, agar kelopak bebunga mekar. Mengairi dengan teknologi siraman seperti titisan atau semburan misalnya. Selalu pastikan bunga-bunga itu dalam keadaan sihat dan subur. Wah.. Jadi petani pun tidak kurang hebat juga rupanya. Ternyata sungguh, ‘Pertanian Adalah Perniagaan’.
Setelah melencong agak jauh tadi, sekarang baru kita tiba kepada poin utama artikel ini iaitu kebebasan. Kebebasan sebenarnya termasuk ke dalam kelas aset. Malah aset cair. Kenapa pula? Sebab ianya mudah ditukarkan kepada wang tunai. Anda bebas bekerja, anda bebas berusaha, anda bebas menjalankan perniagaan, anda bebas mengumpul kekayaan dan ya sudah tentu anda bebas bertani. Malangnya, walaupun sudah tidak ada lagi yang menyekat pergerakan anda, sudah tiada yang menyeksa anda atau memaksa anda masuk fahaman tertentu. Tapi ada satu lagi musuh yang perlu kita tumpaskan. Satu sahaja lagi tuan-tuan. Dan selepas ini, kita akan merdeka sepenuhnya dengan memenangi tropi kebebasan mutlak. Kebebasan peringkat tertinggi dalam kehidupan manusia. Tapi sedikit sekali yang memenangi. Musuh kita terlalu kuat dan kebal. Anda tidak berdaya menyerang apalagi menyentuhnya. Anda juga tidak boleh membunuhnya. Yang paling sakit, anda juga menyayanginya. Siapakah musuh yang sedahsyat itu?
Diri anda tuan-tuan. Diri kita sendiri. Dalam diri kita ada sesuatu yang dipanggil pemikiran, dan dalam pemikiran itu ada satu rantai. Rantai pemikiran itu yang menghalang kita daripada berusaha lebih gigih. Pemikiran itu yang membisikkan ketakutan. Pelbagai ketakutan disembahkan kepada kita. Pemikiran itu yang memberitahu bahawa anda tidak boleh. Pemikiran itu yang menjelaskan bahawa anda bakal gagal. Pemikiran itu yang menerangkan bahawa anda tidak handal. Pemikiran itu yang memujuk bahawa anda tidak mampu berjaya seperti orang lain. Pemikiran itu yang mendodoikan anda bahawa tidak perlu bersusah payah lagi. Pemikiran itu yang menasihatkan bahawa anda tidak setanding dengan mereka itu.
Kalau anda fikir-fikir semula. Apa yang menghalang kita daripada lebih maju? Kita juga ada tangan yang serupa dengan para jutawan itu. Jari anda sepuluh, jari mereka juga sepuluh. Kita juga ada sepasang kaki yang serupa. Anda juga tampan seperti mereka. Malah mungkin anda lebih tinggi seperti mereka. Anda juga ada segala anggota badan dan deria yang mereka ada. Pendidikan anda mungkin lebih dari sesetengah mereka. Tapi sementara fizikal kita serupa, kepekaan kita tidak seperti mereka. Pandangan mereka jauh ke hadapan, melangkaui masa dan keadaan. Mata mereka tajam sehingga menembusi situasi semasa ekonomi. Hidung mereka mampu mencium bau peluang yang paling tersorok sekalipun. Telinga mereka boleh mendengar bunyi masalah yang paling rendah. Pemikiran mereka bebas dan tidak terbelenggu. Optimis. Positif. Pintar.
Tapi kita pula masih terikat. Tali pemikiran yang paling kukuh mengikat kita ialah mengenai umur. Kita ingat, kita sudah terlalu tua untuk berusaha. Kita ingat, kalau kita berusaha sekarang, nanti tidak sempat merasa hasilnya pula. Kita ingat, kalau kita meninggal maka segala kekayaan itu akan dinikmati oleh orang lain. Sekali imbas memang ada kebenarannya. Agak logik. Sebab itulah saya katakan tadi ianya tali yang kukuh. Kalau kita berusaha semata-mata untuk menikmatinya hasil, saya kira tidak perlu menanti sehingga berjaya. Kita boleh menikmatinya pada bila-bila masa. Sekarang ini. Di sini juga. Nikmati yang bagaimana lagi? Perjalanan ke arah pencapaian yang lebih tinggi itu juga sudah satu nikmat. Anda rasa lebih hidup, lebih bersemangat dan lebih bertenaga.
Kalau kita mati sebagai orang miskin, kita tidak risau mengenai harta sedikit yang kita tinggalkan. Tapi kenapa kalau kita mati sebagai berharta, kita risau sangat mengenai harta benda yang bakal ditinggalkan? Tamak. Itulah sebabnya. Anda sedih meninggalkan segala susah payah selama ini.
Tentang mati ini. Anda tetap akan mati juga sebagai apa pun. Tidak perlu tamak. Tidak perlu sedih kawanku. Kita pasti akan mati juga satu hari nanti. Tidak kira sebagai jutawan atau sebagai orang kaya atau sebagai orang miskin, kita tetap akan mati. Mati sebagai orang yang mempunyai banyak koleksi kejayaan atau mati sebagai orang yang belum mencuba potensi diri? Pilihlah kematian mana satu yang anda inginkan.
Kalau lebih luas sedikit, tali umur itu jugalah yang memperlahankan kemajuan negara kita. Anda perasan atau tidak kebanyakan perniagaan yang kita usahakan berskala kecil? Kenapa ya? Tekaan rambang saya ialah kelak pemilik sudah tiada, mana ada lagi orang yang akan mengurusnya. Anak-anak sudah bekerja sendiri. Kalau berdasarkan ini, nampaknya masih agak lama lagi baru kita setanding negara maju yang lain dari aspek kemajuan perniagaan dan pemikiran. Awal-awal lagi mereka sudah mengasuh pemikiran anak-anak mereka untuk menjadi peneraju seterusnya. Mereka tidak berasa rugi meninggalkan itu semua kerana mereka tahu itu ialah khazanah warisan diri untuk negara mereka. Itu adalah sumbangan mereka untuk kemajuan negara mereka.
Kita sudah lama merdeka tapi belum bebas. Bangsa yang maju tidak terikat oleh rantai-rantai pemikiran. Jadi tebuslah kebebasan anda. Jangan biarkan pemikiran itu menghambat anda lagi. Satu yang pasti, para pemenang (yang kebanyakannya jutawan itu) adalah terdiri daripada pemilik tropi kebebasan mutlak..
P/s Post ini adalah petikan daripada salah satu artikel yang terdapat di dalam buku terbaik saya setakat ini iaitu Lentera Untuk Bakal Jutawan. Moga memberikan sedikit semangat dan manfaat buat anda para subscriber dan pembaca yang saya sayangi..





musi 31st August 2010 5:23 pm
Assalamualaikum wm.wb.
Kemerdekaan setiap individu rakyat untuk memiliki hak dan keadilan sebenarnya sebagai insan yang baik, akan mensuasanakan kemerdekaann sesebuah negara. Hati dan minda yang ikhlas dan terbuka adalah elemen kemerdekaan dan sifat kasih sayang sesama manusia tanpa wasangka, dan memeterai perpaduan sejagat yang akan mengekalkan keutuhan Kemerdekaan.
Artikel terkini daripada musi – BUKAN SEKADAR KEMERDEKAAN
[Balas]
bluedianthus 1st September 2010 11:26 am
Pemikiran yang sentiasa berfikiran negatif sememangnya menghalang kita untuk terus maju ke hadapan.. dan ianya juga merupakan salah satu penjajahan yang tersembunyi.. Salam merdeka dari saya..:)
Artikel terkini daripada bluedianthus – Laporan Tertunda Nuffnang Bluedianthus
[Balas]
musi 1st September 2010 12:27 pm
Salam Manis dan salam salaman.
Kemerdekaan Yang Belum Terisi.
Lingkungan lahirnya kita, sudah dijajah dengan situasi kronologi sang penjajah. Mereka kehendaki begitu. Sehingga diturunkan kepada pewaris pemerintah kita juga mengadaptasikan budaya bacul tu. Mangsa nye kita2 lah.
Namun ada yang memiliki kelebihan sensitiviti dan bertindak keluar, sehingga mengungguli minda. Mereka inilah yang walaupun segala sifat fizikalnya serupa namun pemikiran dan tindakannya keluar daripada
kelaziman, maka merekalah yang berjaya dan unggul.
Kepompong minda pesimis inilah yang memudaratkan diri dalam kerugian semata. Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Kita dijajah minda sendiri. Minda kelas 3, 4 .. .?masih jauh di belakang.
Kita belum merdeka minda, belum benar2 bebas, masih jauh untuk minda kelas I, atau capai negara maju. . masih jauh. Yang berkuasa tidak henti-henti menyekat minda, demi minda nya sendiri. Kemerdekaan kita belum terisi lagi.
Artikel terkini daripada musi – BUKAN SEKADAR KEMERDEKAAN
[Balas]
tokbatin 2nd September 2010 2:19 am
Salam kemerdekaan!
”…
Tahniah dan Penghargaan di atas lahirnya tulisan ini. Ianya banyak memberi kebaikan jika kita dapat memikirkan setiap perkataan yang diutarakan. Fikir dengan minda yang merdeka tentunya.
Kesal dan kecewa?…tok sendiri sedih kerana ramai bangsa kita Malaysia yang masih terjajah dari segenap aspek…fikiran, budaya, cara hidup, sikap tidak peduli, ekonomi, politik sempit, tingkah laku dan banyak lagi yang jika disenaraikan panjang berjela-jela “macam satu iklan kad kredit
Kita nak salahkan siapa …keadaan, masa, persekitaran, diri kita, ibubapa, masyarakat, pemimpin ???…Kita kena kembali kepada dasar agama baru segalanya MERDEKA!
Artikel terkini daripada tokbatin – PUISI – KELIHATAN OLEHKU AKAN SEORANG TUA
[Balas]
SAYIDI 2nd September 2010 9:17 am
SALAM JUL….
BETULLAH APA YG TUAN UNGKAPKAN@MERDEKAKAH
KITA SEBENARNYA….
FIKIR-FIKIRKANLAH…???
[Balas]
Julmazli Dempollok Reply:
October 30th, 2010 at 7:37 am
Sesuatu yang harus kita fikirkan bersama..
[Balas]